KENCING MANIS NI MACAM ANAI-ANAI!
"Kencing manis ni, macam anai-anai!"
.
Hm?
Saya melarikan mata daripada skrin mesin ultrasound. Macam mana pula tu?
.
Pakcik yang sedang saya scan kakinya itu seolah faham soalan tanpa suara saya. Dia menjawab," Ye lah. Anai-anaikan perlahan-lahan dia makan rumah kita sampai sudahnya semua rosak."
.
"Kencing manis, macam itu jugalah. Perlahan-lahan dia makan buah pinggang, mata, saraf kita," pakcik itu menyambung.
.
Betul juga perumpamaan macam tu. Awalnya dulu sekadar tahap gula yang tinggi dalam darah saja, kita pun tak berapa kisah. Ambil ringan saja. Lama-lama tanpa sedar mata mula tak nampak, fungsi buah pinggang mula merosot, hilang deria sentuh dan sebagainya.
.
Waktu itu dah terlambat hendak pulih ke asal semula. 'Rumah' tempat roh kita duduki dah pun rosak oleh 'anai-anai'.
.
Saya mengintai ke arah kedua-dua belah kaki pakcik. Kulit pada kaki (foot) sudah mula berubah kepada warna yang gelap sehingga ke paras tengah betis (mid leg/calf).
.
"Kaki kebas banyak lagi ke pakcik?"
.
"Kebas? Kaki pakcik dah tak rasa apa-apa lagi. Tapi masa ada rasa kebas lagi tu, bila datang tu memang sakit tak tahan."
.
Rasa kebas pada kaki/tangan boleh jadi komplikasi terawal bagi pesakit kencing manis. Ia disebabkan kerosakan pada saraf dan salur darah yang kecil-kecil pada anggota tersebut. Kita panggil peripheral neuropathy.
.
Kalau tak dijaga, lama kelamaan boleh melarat kepada kehilangan deria rasa, sentuh, sakit. Itu yang kaki terluka ke apa boleh jadi tak perasan.
.
Kemudian entah macam mana kami berubah kepada topik 'dah tua ni macam-macam pula jadi.'
.
"Tapi tu lah kan pakcik, kadang benda yang jadi kat kita bila dah tua ni sebenarnya kesan apa yang kita buat masa muda dulu, kan?" Saya menyimpulkan.
.
"Memang," pakcik membalas dengan penuh semangat. "Tapi dulu mana ada kesedaran. Tak ada orang ingatkan untuk jaga makan ke, apa ke. Minum air gas. Kalau buat teh tu selagi tak betul-betul manis dan sedap, tak lepas."
.
Dalam hati saya pun terdetik, sekarang dah banyak program kesihatan, geng diet dan fit, tapi masih ada juga yang amalkan pemakanan dan cara hidup yang kurang sihat.
.
Termasuklah saya, erk!
.
Terfikir pula, kebanyakan masa, ujian yang Allah turunkan pada orang di sekeliling kita (ahli keluarga, pesakit, kawan), bukan sekadar ujian pada mereka. Tapi sebagai ingatan kepada kita.
.
Tindakan kita selepas diingatkan, itulah yang akan mempengaruhi outcome kita nanti.
.
.
Aima Hassan
Ramai yg sakit sekeliling kita tp kdg2 kita buat2 tak nampak dan tak nak faham, padahal itu mungkin ingatan utk kita ...
ReplyDeletehmm takut pula bila baca. kena beringat masa makan ni.. risau pula. betul juga macam anai-anai ye
ReplyDeleteMemang kena jaga makan. Saya ada keturunan diabetes, lagilah berpotensi.
ReplyDeleteBetul..penyakit ni dia datang tnp kita sedar..umpama anai2 mcm sis ckp
ReplyDelete