Tentang Da'i




Ada kisah pada suatu masa dahulu.

Imam Abdullah Bin Abu Bakar al-Aydarus meminta anak lelakinya ke pasar tempat berjual beli untuk tujuan berdakwah. 

Imam Abdullah memberitahu anaknya
"Pergilah ke pasar dan carilah seorang yang lebih 'rendah' darjatnya atau lebih 'hina' daripada kau."

Anak lelaki Imam Abdullah menurut kata bapanya. Tiba saja dia di pasar, azan mula berkumandang. Hampir semua yang ada meninggalkan pasar itu untuk pergi ke masjid mengerjakan solat. 

Kecuali seorang lelaki.

Usai mengerjakan solat, anak Imam Abdullah keluar daripada masjid. Dia melihat lelaki itu masih berada di tempat yang sama. Terlintas dalam hatinya

"Lelaki itu ada di situ sebelum aku ke masjid, dan masih ada di situ lagi selepas aku selesai solat.  Mesti dia ni tak solat lagi. Kalau macam ni, aku lagi bagus daripada dia. Aku solat, dan dia tak solat. Akan ku bawa dia berjumpa dengan ayahku."

Baru sahaja dia hendak melangkah ke arah lelaki itu, dia terfikir lagi.

"Hm...mungkin dia tak solat sekarang ni. Tapi kalau sebenarnya dia nak solat kejap lagi, macam mana? Lagipun dia lebih tua daripada aku. Dia lebih kenal Allah daripada aku, dan pasti dia lebih tahu tentang Islam lebih daripada aku."

Lalu anak Imam Abdullah batalkan hasrat untuk dekalit lelaki tersebut dan ambil keputusan untuk mencari orang lain yang lebih 'hina' untuk dibawa berjumpa dengan bapanya. 

Kemudian dia berselisih pula dengan seekor anjing. Anak Imam Abdullah mula berkira-kira hendak mengikat anjing itu dan membawa ia kepada bapanya. Ya lah. Anjing kan, mestilah lebih rendah darjatnya daripada dia seorang manusia kan?

Namun bila dia mula hendak melilit tali pada leher anjing itu, dia berfikir lagi.

"Pada hari pengadilan nanti, haiwan-haiwan ini akan menjadi debu. Segala apa yang dibuat waktu mereka masih hidup tak akan dipertanggungjawabkan atas mereka."

"Aku pula... amalanku waktu di dunia akan dinilai. Kitab amalan akan diberi. Dan aku perlu melintas Titian Sirat. Kalau aku terselamat, memang aku akan lebih baik daripada anjing ini. Tapi kalau aku berakhir di neraka, anjing ini nyatalah lebih baik daripada aku."

Akhirnya, anak Imam Abdullah pulang dengan tangan kosong. Bila Imam Abdullah tanya tentang hasilnya, dia menjawab;

"Sesungguhnya aku tidak bertemu dengan seorang pun yang lebih hina atau lebih rendah darjatnya daripada aku, wahai Ayah."

Imam Abdullah membalas, "Baiklah, kau sudah bersedia untuk menjadi seorang Da'i."


SubhanAllah. Pada saya kisah ini sangat padu. 
Selama ini pada mata dan diri manusia kita, kita ukur seseorang itu mengikut apa yang tercapai oleh akal kita yang terbatas. Contohnya, kedalaman ilmu seseorang itu. 

However, perkara yang sepatutnya ada dalam dada seorang dai'i bukan sekadar ilmu sahaja. 

Ilmu itu dengan tipu daya Iblis dan izin Allah, boleh dipesong ikut nafsu. 
Ilmu itu, kalau tidak diiring dengan rasa zuhud dan rasa 'tiada' yang sebenar dalam hati, maka sia-sialah sahaja.  

Sayang. Seribu kali sayang.


Comments

Popular Posts