Tentang Breathe by Dr Beni


Antara soalan yang agak ironi bila bekerja dalam bidang kesihatan.

"Doktor/misi/kerja hospital/kerja klinik pun boleh sakit ye?"

Dan bila saya mula membaca novel pendek Breathe by Dr Beni Isman, soalan seumpama itu seolah terawang dalam pemikiran.

'Pakar bedah jantung pun boleh kena serangan jantung?'

Adam merupakan seorang pakar bedah jantung di Institut Jantung Negara (IJN). Sedang dia beriadah suatu pagi sambil memikirkan ikatan dua hati yang hampir terlerai, terasa ada benda yang menusuk pada jantungnya. Secara tersurat dan tersirat.

Beberapa kali terjadi perkara yang sama, dia abaikan. Sehingga sakit itu melumpuhkan segala daya yang ada pada tubuhnya. Dan dia rebah.

Dalam pada dia sedang cuba terima hakikat ironi pakar bedah jantung mengalami serangan jantung, lembaran memori mula terselak satu persatu.

Dia dalam usia awal 20-an berada dalam kuliah Professor Black semasa bergelar pelajar perubatan di Auckland.

Dia ketika mula melangkah masuk ke dalam wad dengan penuh debaran pada hari pertama bergelar houseman.

Kali pertama disergah oleh Mad Doc sehingga dia rasa dia tidak layak untuk galas title Dr di hadapan namanya.

Hati terbius cinta dalam situasi yang paling tidak romantik sekali. Dalam zon merah wad kecemasan, di hadapan seorang pesakit yang tak sedarkan diri.

Rasa ralat bila pesakit tidak dapat diselamatkan. Ikatan brotherhood terjalin tanpa dijangka yang terkubur tiada nisan.

Peringatan tentang letaknya Tuhan dalam kerjaya. Yang mana mudah sekali untuk dilupa bila kuasa merawat ada dalam tangan.

Adam seolah-olah melalui hidupnya untuk kali kedua. Menyegarkan kembali semangat untuk hidup, menjentik kembali rasa yang sudah hampir tidak ada.

Entah bagaimana ada seorang houseman perempuan, yang kenal wajah dan dirinya dalam kekalutan di wad kecemasan.

Siapa houseman itu?
Bagaimanakah waktu silam mereka bertaut dulu?

Sempatkah Adam dikejarkan ke tangan berpengalaman rakan-rakan sekerjanya di IJN, sedangkan setiap masa tertunda bermaksud bertambah sel jantungnya yang terhalang sumber oksigen.

Adakah namanya akan tertulis pada salah satu sijil kematian lewat hari itu?

ā€¢ā€¢ā€¢

Waktu saya mula housemanship di Jabatan Perubatan HUKM dulu, Dr Beni rasanya sudah tamat pengajian mastersnya. Hanya sekali sekala ternampak kelibatnya. Mungkin ada sekali dua oncall pada hari yang sama. Tapi tak pernah berhubung secara langsung.

Bila sampai part hari pertama Adam sebagai house officer (HO), saya teringat betapa hijau dan naif dan kosongnya waktu saya bermula dulu.

Transition daripada seorang pelajar perubatan kepada seorang doktor (walaupun dalam latihan) itu tidak mudah.

"Why are you standing there, you are not a medical student anymore."
Saya pernah disergah begini, lebih kurang Adam juga.

Yang bukan medical people pun boleh layan novel ni, tak perlu fikir banyak.

Walau bahasa perantaranya Bahasa Inggeris, ia tak terlalu teknikal. Ada saja unsur jenaka, kadang ada sarkastik yang berlapis dalam ayat-ayatnya.

Ia lebih kepada jalan kehidupan dan manusia, dan bukan dunia perubatan semata-mata.

Comments

Popular Posts