Tentang Bukan Lelaki Syurga



Basah pipi tidak saya sedari. Saya tak jangka langsung saya akan mengalirkan air mata membaca novel Bukan Lelaki Syurga ini. In fact, saya tak ingat bila kali terakhir saya menangis kerana sebuah buku cerita fiksyen.

Diya Nordin ini saya sudah kenal sejak umur kami di awal 20-an lagi, lewat seorang teman. Menariknya kerana kami tidak pernah berjumpa. Langsung. Dahulu sama-sama menulis di platform blogdrive kot. Saya baca hasil tulisan dia. Saya tak tahu dia baca atau tidak tulisan saya. Yang penting dia dan teman kami sudah keluar beberapa buku, saya masih belum. Ha ha.

Sejak dulu lagi, dia sentiasa ada benda yang ingin disampaikan dalam karyanya. Disebabkan saya pernah baca nukilannya yang terdahulu, saya boleh kata dengan yakin sekali betapa Diya Nordin sudah berevolusi dalam penulisannya. Sangat matang, tak membazirkan perkataan.

Mungkin ada orang akan kata BLS ini adalah novel bertemakan cinta dengan konflik berkaitan. Lelaki A bertemu perempuan B selepas pasangan masing-masing tiada. Pada mulanya tiada rasa cinta, kemudian bila cinta mula berputik ada konflik yang seolah cuba memecah belahkan hubungan mereka. Seolah cliche, kan?

Tapi pada saya, novel ini lebih dalam daripada itu.
Ia tentang kembara fizikal dan spiritual seorang Zaid, Iman dan Naura dalam perjalanan mereka menuju Allah untuk raih syurga-Nya.

Zaid yang merajuk lari dari keluarga, melalui redha seorang ibu tiri dan tanggungjawab mendidik ahli perempuan dalam keluarganya.
Iman yang keras kepala, melalui usahanya untuk taat pada ajaran Allah melalui didikan seorang suami.
Naura yang lemah lembut, melalui semangat kental, cinta dan jihadnya di jalan Allah.

Dan pada waktu ini, saya sangat cemburu dengan cinta Naura kepada Pencipta, melebihi kasihnya pada seorang suami. Dia tidak minta suami untuk berada di sisi. Hanya redha suami yang Naura perlu, kerana tanpa itu - perjuangannya tiada makna. Kalau korang dapat baca macam mana Naura memujuk rayu suaminya supaya diizinkan berjuang, rasa malu sangat kita ni duk pujuk suami untuk beli barang dunia.

“Awak sanggup berjauhan dengan saya, Naura? Tinggalkan saya sekali lagi?” 

“Saya inginkan syurga-Nya.” 

“Tanpa reda saya untuk awak?” soal Zaid, tegas. 

Naura diam. Perlahan dia bangun mendapatkan Zaid dari belakang. Tangannya merangkul pinggang Zaid. Wajahnya disembamkan di belakang tubuh Zaid. 

“Demi Allah, reda Allah hanya bersama dengan saya setelah reda awak, Zaid.” Luah Naura berat. “…dan saya pohon reda awak Zaid.”

Malu, bukan?

Bagaimana pula dengan perasaan Zaid, seorang suami yang perlu pujuk hatinya supaya  redha dengan perjuangan Naura di jalan Allah walaupun ada mungkin jalan itu membuatkan mereka bercerai mati? Dan Zaid sebagai anak, untuk lupakan rajuknya pada seorang wanita yang dianggap sebagai ibu itu bukanlah mudah.

Iman pula yang agak bebas cara fikir dan berpakaian selama ini mengalami celaru apabila berlaku pertembungan antara fitrah dengan egonya. Fitrah manusianya tahu apa yang dinasihatkan oleh suaminya yang baik dan sabar itu benar belaka, namun egonya yang melambung tinggi itu degil betul hendak pertikaikan juga perintah Allah.

Redha suami, redha ibu - kunci kepada redha Allah.

Benar, Bukan Lelaki Syurga adalah kisah cinta. Namun bukan kisah cinta manusia.
Ia adalah tentang cinta kepada Pencipta.

Iya, saya masih jeles kepada Naura.


Comments

  1. dah lama miza tak baca novel. Tapi bila baca review aima rasanya miza kena cari novel ne

    ReplyDelete
    Replies
    1. Susah nak letak bila dah pegang ni miza🤭

      Delete

Post a Comment

Popular Posts